Berita

Isu pemandu mabuk perlu dipandang serius, tapi kebajikan mangsa juga perlu diutamakan

NUR SYAFIQAH BINTI MOHD JEMMI

SEREMBAN,: Kerajaan negeri memandang serius isu kemalangan melibatkan pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah kerana bukan sahaja mengancam keselamatan awam, malah memberi kesan besar kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, perhatian tidak seharusnya tertumpu kepada hukuman semata-mata, sebaliknya kebajikan mangsa perlu dijadikan keutamaan.

“Setiap insiden yang berlaku memberi implikasi besar kepada mangsa terutama mereka yang mempunyai tanggungan, sekali gus menuntut tindakan lebih menyeluruh daripada pihak berkuasa.

“Kalau boleh kita tidak mahu perkara ini berlaku kepada masyarakat, tetapi jika sudah berlaku, kita perlu pastikan mangsa yang mempunyai tanggungan itu diperjuangkan nasib mereka,” katanya selepas mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Aminuddin turut menegaskan bahawa hukuman terhadap pemandu mabuk wajar dipertingkatkan bagi memastikan keadilan kepada mangsa terus terbela.

“Ancaman di jalan raya bukan sahaja berpunca daripada pemandu mabuk, malah individu yang berada di bawah pengaruh dadah juga perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa dan penguat kuasa.

“Kita perlu jaga mangsa dan hukuman itu juga perlu dipertingkatkan. Masalah sekarang bukan sahaja pemandu mabuk, tetapi pemandu yang mengambil dadah juga perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa dan penguat kuasa,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button