Jangan timbulkan kekeliruan berkaitan 3R: KP Negeri Sembilan

SEREMBAN: Ketua Polis Negeri Sembilan, Dato’ Alzafny Ahmad meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang bentuk kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan awam atau menyentuh sensitiviti berkaitan 3R berkenaan isu sama yang berlaku di negeri ini.
“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada sekiranya terdapat perbuatan berbentuk provokasi, hasutan, fitnah, penyebaran maklumat palsu atau apa-apa unsur yang menyalahi undang-undang.
“Semua pihak perlu bekerjasama dalam mengekalkan ketenteraman, menghormati proses yang sedang berlangsung dan memelihara keharmonian negeri ini,” kata Alzafny.
Dalam pada itu, Alzafny turut tambah bahawa Polis Kontinjen Negeri Sembilan amat menghormati Adat Perpatih dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 yang menjadi teras pemerintahan, pentadbiran serta perpaduan negeri ini.
“Pihak polis tidak akan mencampuri sebarang urusan berkaitan agama dan adat resam serta peruntukan yang termaktub di bawah undang-undang berkenaan,” ujar beliau.



