Berita

PMKS berdepan tekanan global, kerajaan longgarkan pembiayaan dan e-Invois

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

KUALA LUMPUR:  Kerajaan mengambil langkah melonggarkan pembiayaan serta pelaksanaan e-Invois bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menghadapi tekanan global susulan konflik Asia Barat.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, ketidaktentuan pasaran tenaga dunia ketika ini memberi kesan langsung kepada peningkatan kos operasi dan gangguan rantaian bekalan.

“Sesi libat urus bersama komuniti perniagaan milikan Cina dan India yang diteruskan petang tadi bertujuan mendapatkan maklum balas terus daripada pemain industri selepas pertemuan dengan usahawan Bumiputera minggu lalu.

“Konflik Asia Barat telah memberi kesan yang amat mendalam kepada pasaran tenaga global, menjurus kepada tekanan ke atas kos operasi dan gangguan rantaian bekalan,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan meningkatkan peruntukan jaminan di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebanyak RM5 bilion.

Menurutnya, liputan pembiayaan turut diperluas sehingga 80 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini bagi memudahkan PMKS mendapatkan akses kewangan.

“Dalam masa sama, SJPP akan bekerjasama dengan institusi perbankan bagi memudah cara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman termasuk bantuan bayaran balik secara bersasar.

“Selain itu, kerajaan turut melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan e-Invois Fasa 4 selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2027.

“Langkah itu melibatkan perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan tanpa penalti sepanjang tempoh berkenaan,” tambahnya.

Bagi perniagaan yang terjejas dari segi eksport, kerajaan juga akan memberi pertimbangan interim terhadap pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas barangan buatan Malaysia yang diimport semula sehingga 31 Disember 2026.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta amat penting dalam menghadapi krisis berkenaan.

“Ini bukan masanya untuk berpolitik atau adu domba, sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan kesan kejutan luaran ini dapat ditangani demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button