Berita

Pemaju diberi tempoh lapan bulan siapkan projek perumahan di Lenggeng

LENGGENG: Projek perumahan di Taman Quensberry, Bandar Tasik Senangin di sini yang mengalami kelewatan lebih setahun kini diberi tempoh baharu selama lapan bulan untuk disiapkan, kata Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J. Arul Kumar.

Beliau berkata, projek melibatkan 275 unit rumah teres dua tingkat itu kini mencatatkan kemajuan sekitar 60 peratus, namun kelewatan berlarutan telah memberi tekanan kewangan kepada para pembeli.

“Keadaan ini telah menyebabkan pembeli terpaksa berhadapan dengan beban kewangan, dan perkara ini perlu ditangani segera,” katanya selepas melakukan lawatan ke tapak projek berkenaan.

Menurut beliau, projek tersebut sebelum ini telah dikategorikan sebagai ‘Projek Sakit’ oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang turut mengambil beberapa tindakan terhadap pemaju mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Dalam lawatan itu, beliau turut mengadakan pertemuan bersama pemaju, wakil pembeli serta pegawai daripada KPKT, Majlis Bandaraya Seremban, Bahagian Perumahan SUK dan Pejabat ADUN Lenggeng.

“Jika dalam beberapa bulan akan datang pemaju masih gagal menunjukkan kemajuan, projek ini berisiko dikategorikan sebagai ‘Projek Terbengkalai’, yang pastinya memberi kesan besar kepada semua pihak, khususnya pembeli,” katanya.

Sehubungan itu, Arul Kumar berkata pihaknya telah mendapatkan komitmen pemaju untuk menyiapkan projek tersebut sebelum hujung tahun ini.

“Hasil perbincangan hari ini, pemaju telah berjanji untuk menyiapkan projek tersebut sebelum hujung tahun ini atau dalam tempoh lapan bulan akan dating.

“Kerajaan Negeri bersama Bahagian Perumahan akan memantau kemajuan projek itu secara bulanan bagi memastikan setiap komitmen dipenuhi,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan memberikan sebarang kelulusan baharu kepada syarikat pemaju berkenaan selagi isu projek sedia ada belum diselesaikan.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri tidak akan memberikan sebarang kelulusan baharu kepada syarikat ini kerana masih terdapat tanah yang belum dibangunkan,” ujar Arul Kumar.

Show More

Related Articles

Back to top button