Program Promosi eParking PBTPAY Tampin dapat sambutan

REPAH: Program Promosi eParking @PBTPAY anjuran Majlis Daerah Tampin dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat DUN Repah berjaya dilaksanakan di Kompleks Arena Dataran Tampin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, Veerapan Superamaniam berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan secara terus kepada orang ramai mengenai penggunaan sistem eParking melalui aplikasi PBTPAY.
Menurut beliau, pelaksanaan sistem digital itu selari dengan arus pemodenan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Pelaksanaan sistem eParking ini merupakan satu langkah ke hadapan dalam menyediakan kemudahan yang lebih cekap, pantas dan mesra pengguna kepada masyarakat.
“Sebagai galakan kepada orang ramai, pihak penganjur turut menawarkan insentif tambah nilai RM10 kepada 200 pengunjung terawal yang mendaftar melalui aplikasi PBTPAY.
“Pengunjung yang layak boleh menuntut kredit tambahan tersebut di kaunter yang disediakan dengan mengemukakan bukti paparan tambah nilai dalam aplikasi berkenaan,” katanya semasa Ucapan Perasmian Penutup program tersebut.
Program itu turut menampilkan sesi penerangan oleh wakil Jabatan Kerajaan Tempatan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), selain kehadiran wakil agensi kerajaan, swasta serta Jawatankuasa Penduduk.
Veerapan berkata, program seumpama itu diharap dapat meningkatkan penerimaan masyarakat terhadap penggunaan teknologi digital dalam urusan harian.
“Diharapkan inisiatif ini menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan teknologi serta mendapat sokongan penuh warga daerah Tampin,” katanya.




