Berita

Malaysia lancar Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Malaysia melakar satu lagi langkah penting dalam agenda perubahan iklim negara dengan peluncuran Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) sempena pembukaan Climate Change and Sustainability Conference 2026 anjuran Forest Research Institute Malaysia.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup berkata, dasar tersebut akan menjadi rangka kerja strategik dalam membangunkan ekosistem pasaran karbon yang telus dan berintegriti tinggi di negara ini.

“DPKK ini merupakan panduan komprehensif untuk membina ekosistem pasaran karbon yang telus, dipercayai dan berintegriti tinggi di Malaysia.

“Pelaksanaan dasar itu turut menyokong sasaran Nationally Determined Contribution (NDC) 3.0 negara, iaitu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca antara 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida setara menjelang 2035.

“Selain itu, DPKK dijangka membuka peluang ekonomi baharu melalui pelaburan dalam teknologi rendah karbon serta mewujudkan pekerjaan seperti juruaudit karbon dan pakar pengukuran, pelaporan dan pengesahan (MRV),” kata beliau.

Arthur berkata, strategi DPKK dibangunkan berasaskan empat teras utama, termasuk pelaksanaan pasaran karbon berintegriti tinggi, pembangunan ekosistem dan infrastruktur kondusif seperti registri kebangsaan, kerjasama antarabangsa dalam perdagangan kredit karbon, serta pelengkap kepada usaha penyahkarbonan sektoral.

Beliau menjelaskan bahawa kira-kira 70 peratus potensi pengurangan pelepasan gas rumah kaca negara boleh dicapai melalui langkah kos rendah seperti kecekapan tenaga.

“Namun, DPKK adalah kunci utama untuk menangani baki 30 peratus pelepasan yang sukar dikurangkan, khususnya melalui teknologi berkos tinggi.

“Sokongan perundangan menerusi Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang akan datang akan memperkukuh pelaksanaan dasar berkenaan, sekali gus meningkatkan daya saing industri tempatan di peringkat global.

“DPKK akan membantu memastikan transisi ke arah ekonomi rendah karbon dapat dilaksanakan secara adil dan inklusif, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI,” jelas beliau lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button