BeritaMenarik

KAMPUNG ANGKAT MADANI: Kampung Kuala Serdang dapat projek RM2.5 juta

KUALA PILAH: Kampung Kuala Serdang mendapat limpahan projek pembangunan berjumlah RM2.5 juta di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI yang ideanya dicetuskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Peruntukan RM2.5 juta ini termasuk kerja-kerja naik taraf balai raya, Tadika KEMAS dan taman permainan kanak-kanak.

Selain itu projek ini turut melibatkan kerja-kerja naik taraf perpustakaan desa, membina pintu gerbang, pengukuhan tebing serta pengindahan Sungai Muar di Kampung Kuala Serdang, kerja naik taraf sistem saliran di Kampung Purun dan di Kampung Pulau Jelebu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang ditemui Negeri Kita berkata, kadang-kadang pentadbir yang menjawat jawatan politik banyak dibebankan dengan kerja-kerja pentadbiran dan terlepas pandang keperluan di kampung.

“Ini asas yang diletakkan oleh Perdana Menteri, apabila setiap kementerian pilih satu kampung, setiap ketua setiausaha pilih satu kampung.

“Kita buat satu landasan tambahan supaya keperluan penduduk itu dapat dipertimbangkan terus daripada melepasi pelbagai peringkat pentadbiran.

“Kalau tidak mereka daripada Pejabat Daerah Kuala Pilah kena pergi Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), daripada SUK kena pergi kementerian-kementerian berkenaan.

“Kementerian-kementerian berkaitan pula kena pergi ke Kementerian Ekonomi, maka proses itu jadi lambat,” jelas Rafizi.

Rafizi percaya Kampung Angkat MADANI diteruskan 

Rafizi menambah, selalunya perkara-perkara yang mungkin keperluan utama penduduk tetapi mungkin dilihat bukan senarai keutamaan.

“Jadi perkara itu diterjemahkan melalui inisiatif Kampung Angkat MADANI, Sejati MADANI.

“Justeru itu, Kementerian Ekonomi buat sendiri insiatif kemudahan rakyat.

“Kita berharap jumlah projek-projek kecil dapat dilipat gandakan.

“Ada kesan yang baik berbanding kalau kita bergantung semata-mata kepada kaedah pentadbiran yang lama.

“Saya percaya inisiatif ini akan diteruskan pada tahun hadapan,” kata Rafizi.

Aminuddin menyambut baik

Dalam pada itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menyambut baik inisiatif Kampung Angkat MADANI.

“Semestinya saya gembira kerana salah sebuah kampung dari Negeri Sembilan terpilih di bawah projek Kampung Angkat MADANI.

“Alhamdulillah projek bernilai RM2.5 juta telah dilaksanakan di Kampung Kuala Serdang.

“Saya berharap inisiatif ini diteruskan ke kampung-kampung yang lain di Negeri Sembilan pada tahun hadapan,” ulas Aminuddin.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button