BeritaMenarik

Tanah terbiar diusahakan jadi sawah padi, kurangkan kebergantungan kepada beras import

KUALA PILAH: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang berusaha memulihkan kawasan tanah sawah yang terbiar dan kawasan yang berpotensi untuk diusahakan tanaman padi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu berkata, usaha ini difokuskan di luar kawasan jelapang padi seperti di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Kita juga di peringkat merancang untuk menubuhkan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Selatan merangkumi Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Kawasan terbiar yang boleh diusahakan sebagai sawah padi di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor memang banyak.

“Semestinya ia memerlukan sistem pengairan yang secukupnya,” ujar beliau.

Mohamad berkata, usaha bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ini dilakukan bagi mengurangkan kebergantungan kepada beras import.

“Selain itu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sedang berusaha agar hasil pengeluaran padi kepada lima musim dua tahun bermula Januari 2025.

“Sarawak akan menjadi jelapang padi yang besar pada masa akan datang kerana Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan RM500 juta untuk tahun ini.

“Sarawak berazam pada tahun 2030, bekalan beras dari negeri itu cukup untuk penduduk Sarawak,” jelas Mohamad.

Mohamad berkata demikian di program Lawatan Turun Padang ke Projek Tanaman Padi di Negeri Sembilan di Skim Padi Terachi Batu 14, Kampung Gedang, Kuala Pilah.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button