Berita

Kejohanan badminton perpaduan DUN Pilah Jun ini

PILAH: Peminat badminton di sekitar DUN Pilah bakal disajikan dengan aksi menarik apabila Kejohanan Badminton Perpaduan Tertutup DUN Pilah 2026 Piala YB Dato’ Noorzunita akan berlangsung pada 20 hingga 21 Jun depan di Kompleks Rakan Muda, Melang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, kejohanan itu dianjurkan bagi mencungkil bakat baharu dalam sukan badminton di samping mengeratkan perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

“Kejohanan tersebut turut menawarkan hadiah wang tunai lumayan kepada para pemenang sekali gus dijangka menarik penyertaan ramai pemain amatur sekitar DUN Pilah.

“Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengetengahkan bakat sukan badminton, malah dapat mengukuhkan hubungan masyarakat melalui semangat kesukanan dan perpaduan.

“Kejohanan yang berlangsung bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang itu terbuka kepada kategori lelaki dan wanita dengan penyertaan terhad mengikut kategori dipertandingkan.

“Bagaimanapun, pertandingan ini hanya terbuka kepada pengundi di DUN Pilah sahaja, manakala bagi kategori Beregu Bawah 18 Tahun dan Beregu Bawah 12 Tahun, penyertaan dihadkan kepada pelajar yang bersekolah di kawasan DUN Pilah,” kata Noorzunita.

Penganjur turut menetapkan beberapa syarat bagi memastikan persaingan berlangsung secara adil dan seimbang termasuk melarang penyertaan pemain yang pernah mewakili negara atau negeri dalam kejohanan rasmi seperti Sirkit Kebangsaan, MAKSAK, SUKMA, Purple League, separa profesional dan kejohanan setaraf.

Selain itu, pemain yang memiliki ID BAM atau BWF juga tidak layak menyertai pertandingan tersebut.

Tarikh tutup pendaftaran ditetapkan pada 31 Mei ini dan orang ramai disaran mendaftar lebih awal berikutan kuota penyertaan yang sangat terhad.

Sebarang pertanyaan lanjut dan urusan pendaftaran boleh dibuat dengan menghubungi urusetia kejohanan di talian 017-2488 906 (Haziq) atau 06-4812 828 (Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pilah).

Show More

Related Articles

Back to top button