Kembara Merdeka Akar Umbi Negeri Sembilan kembali

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sekali lagi memperkenalkan Kembara Merdeka Akar Umbi Negeri Sembilan 2025.
Ini merupakan edisi kedua selepas kejayaan penuh prestij pada sesi sulung tahun lalu.
Sebuah inisiatif yang menggabungkan elemen sukan, perpaduan, budaya dan kemasyarakatan yang dirancang khas sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68.
EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, program ini bertujuan memperkasa akar umbi masyarakat melalui penghayatan nilai murni, identiti warisan Negeri Sembilan, serta rasa cinta terhadap tanah air.
“Acara utama kembara ini melibatkan konvoi daripada hampir 300 buah kenderaan yang terdiri daripada motosikal berkuasa tinggi dan kenderaan empat tayar.
“Konvoi ini akan menjelajah ke tujuh daerah yang terdapat dalam Negeri Sembilan dan berhenti di tujuh lokasi berbeza.
“Di setiap lokasi yang disinggahi akan diadakan beberapa program melibatkan masyarakat setempat.
“Ia turut mendapat sokongan rakan strategik seperti agensi kerajaan persekutuan, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” kata Jalaluddin.
Menurut Jalaluddin, antara objektif utama Kembara Merdeka Akar Umbi adalah memupuk kesedaran sivik dan semangat patriotik dalam diri setiap peserta, selain menggalakkan perpaduan antara etnik melalui program berbilang budaya.
“Kerajaan Negeri Sembilan juga menyasarkan penglibatan orang ramai di setiap lokasi sepanjang 30 Ogos 2025 tersebut.
“Kembara Merdeka Akar Umbi Negeri Sembilan 2025 bukan sekadar program semarak kemerdekaan dan konvoi bermotor, sebaliknya ia wadah menyemai nilai kasih sayang terhadap tanah air, memupuk semangat perpaduan atas nama anak Negeri Sembilan dan membina kekuatan sosial dari bawah.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan penyertaan semua lapisan masyarakat agar semangat ‘Malaysia Madani’ menjadi realiti dengan dijiwai daripada akar umbi,” ujar Jalaluddin yang juga Exco (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan.