Kerajaan Negeri ambil langkah penjimatan bahan api

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengambil langkah penjimatan bahan api dan tenaga susulan isu ketegangan di Timur Tengah melibatkan Iran dan Amerika Syarikat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, arahan serta merta telah dikeluarkan kepada semua ketua jabatan dan GLC di negeri ini untuk melaksanakan langkah penjimatan.
“Dalam mesyuarat dengan ketua-ketua jabatan kelmarin, saya telah meminta agar langkah penjimatan dilaksanakan dengan segera.
“Ini termasuk penggunaan kenderaan (bahan api) yang perlu dikawal dengan lebih ketat dan penggunaan tenaga (elektik) di dalam pejabat.
“Kalau tiada keperluan mendesak, hadkan perjalanan.
“Saya juga telah meminta mesyuarat diadakan dalam Daerah Seremban sahaja.
“Sekiranya mesyuarat melibatkan pegawai jabatan kerajaan dari daerah lain seperti Jempol, Kuala Pilah atau Tampin, tak perlu lah datang ke Seremban sebaliknya saya minta mesyuarat diadakan atas talian (online),” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian semasa Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, Seremban.



