Dakwaan sijil SPM pelajar di Senawang ditahan tidak tepat, hanya prosedur sementara
Nur Syafiqah Mohd Jemmi
SEREMBAN: Dakwaan penahanan sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melibatkan seorang pelajar cemerlang di Senawang adalah tidak tepat, sebaliknya ia hanya prosedur sementara bagi tujuan rundingan dan penyelarasan bersama ibu bapa.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah berkata, tiada isu sijil disekat seperti yang didakwa, sebaliknya ia merupakan amalan biasa pihak sekolah dalam menguruskan hal berkaitan secara berhemah.
“Tidak ada pun isu sijil ditahan seperti mana didakwa. Ini adalah prosedur biasa pihak sekolah untuk ajak ibu bapa berunding.
“Ia melibatkan budi bicara antara pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa sendiri,” katanya ketika melawat sekolah itu hari ini.
Beliau menegaskan, tuduhan kononnya pihak sekolah menyekat sijil adalah melampau dan tidak wajar, memandangkan sekolah selama ini banyak berjasa dalam membantu serta meringankan beban ibu bapa.
Terdahulu, tular di TikTok dakwaan seorang individu yang mendakwa sijil SPM adik sepupunya yang memperoleh keputusan 9A ditahan oleh pihak sekolah kerana tunggakan yuran PIBG, malah hanya menerima sampul kosong ketika majlis anugerah.
Bagaimanapun, semakan mendapati dakwaan tersebut tidak tepat, termasuk berkaitan latar belakang kewangan pelajar berkenaan.
Menurutnya, tiada rekod menunjukkan pelajar tersebut daripada golongan asnaf.
Malah, pihak sekolah tidak mempunyai masalah untuk membantu sekiranya pelajar benar-benar berada dalam kesulitan kewangan.
“Sumbangan PIBG digunakan bagi menampung pelbagai keperluan pelajar seperti kos pengangkutan untuk lawatan, penyediaan makanan semasa aktiviti sekolah serta pelaksanaan program kecemerlangan akademik.
“Penangguhan yang berlaku hanyalah sementara bagi urusan penyelarasan dengan pihak sekolah, selain memastikan keadilan kepada pelajar lain yang konsisten membayar sumbangan PIBG setiap tahun,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, difahamkan tunggakan sumbangan PIBG pelajar berkenaan telah pun dijelaskan oleh seorang individu yang tidak mahu dikenali dengan niat untuk membantu meringankan beban pelajar tersebut.
Pihak sekolah juga kini sedang menunggu pelajar berkenaan hadir bagi mengambil sijil SPM serta wang sagu hati yang sebelum ini ditangguhkan susulan isu terbabit.
Pada masa sama, beliau menjelaskan wang sagu hati yang diterima pelajar adalah hasil ihsan PIBG sebagai penghargaan terhadap pencapaian mereka.
Dalam pada itu, Ahmad Shahir berkata kecemerlangan pelajar bukan hanya bergantung kepada usaha individu, sebaliknya hasil kerjasama erat antara guru, PIBG dan ibu bapa.
Katanya, tiada pelajar di sekolah berkenaan dipinggirkan daripada program kecemerlangan hanya kerana tidak menjelaskan sumbangan PIBG.
“Semua pelajar mendapat manfaat daripada program yang disediakan tanpa pengecualian.
“Kecemerlangan bukan sahaja dalam akademik, tetapi turut melibatkan peningkatan disiplin hasil peranan semua pihak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap isu berkenaan dapat diselesaikan secara baik tanpa dipengaruhi spekulasi luar, selain menyeru orang ramai menghentikan penyebaran fitnah terhadap pihak sekolah.
“Tiada sekatan seperti didakwa. Beri ruang untuk isu ini diselesaikan dengan baik,” ujarnya.


