Laksana Tugas Sebagai Amanah, Bukan Sekadar Tanggungjawab – Aminuddin
Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Setiap tugas dalam pentadbiran perlu dilaksanakan sebagai satu amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT, bukan sekadar tanggungjawab rutin semata-mata.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, penjawat awam perlu menanam rasa takut kepada Allah dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil.
“Kita tidak mahu sekadar melaksanakan tugas, tetapi menunaikan amanah dengan penuh rasa takut kepada Allah.
“Setiap keputusan, keadilan yang ditegakkan dan kes yang diselesaikan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Konvensyen Kehakiman & Perundangan Syariah Kebangsaan (KOPKES) 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha memperkasa sistem perundangan Syariah dan memartabatkan Islam di negeri ini tidak boleh digalas secara bersendirian.
“Segala usaha yang kita lakukan pada hari ini, sama ada melalui perbincangan, penulisan mahupun inovasi perkhidmatan, tidak akan membawa makna sekiranya kita tidak memikulnya sebagai satu amanah bersama.
“Amanah ini bukan amanah individu atau satu jabatan semata-mata, tetapi terpikul di bahu kita semua termasuk hakim, pendakwa, pegawai agama, pentadbir serta seluruh warga perkhidmatan awam,” tambahnya.
Dalam pada itu beliau menegaskan, pembangunan Islam di Negeri Sembilan memerlukan kesepaduan dan kesatuan semua pihak.
“Membangunkan Islam di Negeri Sembilan bukan tanggungjawab seorang Menteri Besar sahaja, tetapi tanggungjawab kita bersama.
“Saya tidak mampu melakukannya seorang diri, namun saya yakin jika kita bergerak seiring, sehaluan dan sejiwa, tiada yang mustahil untuk kita capai,” ujarnya.
Sementara itu, KOPKES 2026 yang berlangsung di Grand Ballroom, Klana Resort Seremban menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada hakim syarie, peguam syarie, pengamal undang-undang, ahli akademik serta wakil agensi kerajaan dari seluruh negara.
Konvensyen bertemakan “Mengenali Adat Perpatih: Keistimewaan Kedudukan Wanita dalam Pemilikan Harta” itu dianjurkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Sembilan serta Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS 2026).
Penganjuran konvensyen tersebut bertujuan meneliti kerelevanan Adat Perpatih dalam sistem perundangan moden dengan memberi fokus kepada aspek keadilan sosial dan perlindungan hak wanita, selain memperkukuh sinergi antara Hukum Syarak dan adat dalam landskap perundangan semasa.



