Berita

Kerajaan Negeri Sembilan Perhebat Kempen Cegah Vandalisme 2026

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan terus mempergiat usaha membendung gejala vandalisme menerusi pelaksanaan Kempen Pencegahan Vandalisme Peringkat Negeri Sembilan 2026.

Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, kemudahan awam merupakan aset bersama masyarakat yang meliputi pelbagai aspek termasuk pengangkutan, pendidikan dan rekreasi serta berkait rapat dengan kehidupan seharian rakyat.

“Perbuatan vandalisme bukan sahaja menjejaskan keindahan bandar dan persekitaran malah menyebabkan kos penyelenggaraan tambahan yang akhirnya ditanggung oleh rakyat

“Sehubungan itu, kerajaan negeri giat menggerakkan kempen ini bagi meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat khususnya dalam memupuk rasa tanggungjawab dan sikap menghargai harta awam dalam kalangan generasi muda.

“Hanya dengan penglibatan semua pihak dan bermula daripada diri sendiri, kita mampu mewujudkan persekitaran komuniti yang lebih beradab, tersusun dan selesa didiami,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan melalui pendekatan pendidikan, kesedaran dan penguatkuasaan secara menyeluruh bagi membendung gejala tersebut.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu, bermula dengan perkara kecil, demi membina Negeri Sembilan yang lebih bersih, indah dan harmoni,” katanya ketika mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun bagi menyempurnakan majlis pelancaran kempen berkenaan yang berlangsung di Palm Hotel Seremban, disini.

Show More

Related Articles

Back to top button