Berita

Warga Emas Bukan Sekadar Statistik, Aset Penting Negara – Dzulkefly

SEREMBAN: Warga emas tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai statistik atau kelompok yang perlu disantuni sebaliknya merupakan golongan yang telah membina asas negara dengan penuh pengorbanan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dalam kerangka Negara MADANI, kerajaan mahu mengubah naratif penuaan daripada dilihat sebagai beban kepada satu fasa kehidupan yang bermaruah serta terus menyumbang kepada masyarakat menerusi konsep ‘Ekonomi Perak’ atau *Silver Economy*.

“Rakyat Malaysia kini menikmati jangka hayat yang lebih panjang dengan wanita mencecah 77.4 tahun manakala lelaki 72.5 tahun”

“Namun, cabaran sebenar adalah memastikan tahun-tahun tambahan ini diisi dengan kualiti hidup yang baik,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial, hari ini.

Menurut Dzulkefly, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 mendapati hanya 14.7 peratus warga emas di negara ini mencapai kriteria penuaan sejahtera yang merangkumi aspek fizikal, kognitif dan sosial yang optimum.

Tambahnya, prevalens penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan warga emas juga menunjukkan peningkatan yang ketara.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini memacu reformasi strategik melalui Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas (PTPKWE) 2023–2030 serta Pelan Tindakan Demensia Negara 2023–2030 bagi memperkukuh penjagaan kesihatan golongan berkenaan”

“Kita mahu membawa perkhidmatan kesihatan ‘Closer to Home’ supaya jurang mobiliti tidak lagi menjadi penghalang untuk mereka mendapatkan rawatan berkualiti”

“Usaha ini turut diperkukuh dengan integrasi digital melalui MySejahtera bagi mengesan risiko awal kerapuhan dengan lebih pantas,” katanya.

Mengulas lanjut, memastikan warga emas menua dengan sihat adalah satu bentuk ihsan tertinggi, selaras dengan tuntutan berbakti kepada ibu bapa.

“Melalui ekosistem mesra usia, kita bukan sahaja menjaga kesihatan mereka, malah mengiktiraf mereka sebagai aset pembangunan negara yang kaya dengan ilmu dan pengalaman”

“Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama memastikan setiap warga emas di Malaysia dapat menua dengan sihat, sejahtera dan bermaruah,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button