
SEREMBAN: Tindakan mengisytiharkan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz disifatkan tidak sah dan tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pengisytiharan tersebut dibuat oleh Dato’ Mubarak Dohak yang tidak lagi mempunyai kuasa sebagai Undang Luak Sungai Ujong selepas diberhentikan daripada jawatan berkenaan.
“Inidividu terbabit telah dilucutkan jawatan mengikut adat dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Ini sekali gus menjadikan sebarang tindakan yang dibuat selepas itu tidak mempunyai legitimasi.
“Tindakan menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf kerana beliau bukan lagi Undang Luak Sungai Ujong,” katanya.
Menurutnya, tindakan tersebut juga tidak selaras dengan peruntukan Perkara 10 hingga 12 undang-undang tubuh negeri.
Dalam pada itu, kerajaan negeri menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan institusi pemerintahan perlu ditangani mengikut lunas perundangan dan adat yang sah.



