Tiada Campur Tangan Kerajaan Negeri Dalam Pemecatan Undang Luak Sungai Ujong
Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan bahawa tiada campur tangan dilakukan dalam pemecatan penyandang pesaka Dato’ Klana Petra Luak Sungai Ujong, sebaliknya keputusan tersebut dibuat sepenuhnya mengikut adat dan struktur yang diperuntukkan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, fungsi Dewan Keadilan dan Undang (DKU) hanyalah sebagai badan penasihat dalam hal berkaitan adat istiadat Melayu, termasuk urusan pelantikan dan pemberhentian Undang Luak.
“Pemberhentian Dato’ Mubarak Dohak telah diputuskan oleh Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungai Ujong sejak 13 Mei 2025 berdasarkan adat luak berkenaan.
“Sidang Khas DKU pada 17 April 2026 hanya menasihat dan menerima kesepakatan tersebut selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tindakan itu dibuat berikutan 33 kesalahan berkaitan pesaka dan adat yang melibatkan individu berkenaan.
Sehubungan itu, kerajaan negeri menegaskan bahawa proses pemberhentian tersebut berjalan mengikut saluran adat yang sah dan bukan hasil campur tangan pentadbiran negeri.
Semua pihak juga diminta untuk menghormati proses perundangan serta adat yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan Negeri Sembilan.



