Berita

Malaysia Kekal Destinasi Pelaburan Utama, Kerajaan Perkukuh Kerjasama Industri – Anwar

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Malaysia berupaya mengekalkan kestabilan ekonomi serta menjana produk bernilai tinggi yang terus menjadi tarikan utama pelabur global ke negara ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri  Anwar Ibrahim berkata, “Keupayaan Malaysia mengekalkan kestabilan ekonomi serta menjana produk bernilai tinggi kekal menjadi teras yang menarik.


“Dalam pada masa yang sama, menarik minat pelabur global untuk terus memilih negara ini sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di media sosial selepas berucap merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2026.

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan industri bagi mendepani perkembangan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan dan sistem autonomi.

Penerapan teknologi tersebut perlu dilaksanakan berlandaskan prinsip keselamatan, ketelusan serta keadilan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan kekal komited memastikan disiplin dalam pelaksanaan dasar diperkasakan, selain memperkukuh perlindungan harta intelek dan memastikan setiap kontrak dihormati dengan penuh integriti.

“Ini kerana ia adalah langkah penting bagi memelihara keyakinan pelabur serta rakan strategik terhadap Malaysia.

“Dengan asas ekonomi yang kukuh serta keupayaan menghasilkan produk bernilai tinggi yang memenuhi keperluan global, Malaysia akan terus berdiri sebagai rakan pelaburan yang diyakini dan dihormati di persada antarabangsa,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button