Berita

Zakat MAINS Ringankan Beban Kanak-Kanak Sindrom Down Alami Masalah Saraf Tengkuk

PORT DICKSON: Seorang kanak-kanak perempuan menghidap Sindrom Down berusia sembilan tahun kini berdepan ujian besar apabila mengalami masalah saraf di bahagian tulang tengkuk dikenali sebagai C1 C2 Dislocation.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berkata, kanak-kanak itu, Nur Aisyah sebelum ini menjalani kehidupan seperti biasa walaupun dilahirkan dengan keadaan itu.

“Aisyah aktif bergerak dan mengikuti pembelajaran di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Curahan Kasih di sini sebelum satu insiden terjatuh mengubah keadaan dirinya.

“Akibat kecederaan serius itu, Aisyah kini mengalami masalah saraf di bahagian tulang tengkuk yang memerlukan pemasangan implan besi bagi menstabilkan bahagian berkenaan.

“Pergerakan yang dahulunya mudah kini menjadi cabaran besar buatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Aisyah merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan keluarganya tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

“MAINS melalui dana zakat telah menyalurkan bantuan kerusi roda bagi meringankan beban keluarga selain membantu Aisyah menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa.

“Bantuan ini bukan sekadar alat, tetapi memberi peluang kepada Aisyah untuk kembali merasai dunia di sekelilingnya, meneruskan pembelajaran serta terus tersenyum,” tambahnya.

Bantuan tersebut telah disampaikan oleh Penolong Pegawai MAINS Daerah Port Dickson, Ustaz Zainal Samdin.
Orang ramai yang ingin menunaikan zakat boleh melayari laman sesawang rasmi MAINS bagi tujuan kiraan, bayaran serta semakan kelayakan permohonan.

Show More

Related Articles

Back to top button