Zaidy tinjau projek infrastruktur RM250,000

JERAM PADANG: Projek baikpulih tebing runtuh serta kerja-kerja menaiktaraf longkang di Jalan Teratai, Felda Palong 1 kini mencatat kemajuan memberangsangkan apabila hampir 90 peratus siap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, beliau telah meninjau sendiri perkembangan projek tersebut bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan menepati jadual.
Menurut beliau, projek berkenaan telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM250,000 bagi menjamin keselamatan penduduk serta meningkatkan kecekapan sistem saliran di kawasan itu.
“Alhamdulillah, hasil tinjauan di tapak mendapati bahawa kemajuan kerja baikpulih tebing kini telah mencapai hampir 90 peratus siap.
“Bagi kerja-kerja menaiktaraf longkang, ia melibatkan anggaran jarak antara 300 hingga 400 meter di kawasan Blok 16, Felda Palong 1.
“Pelaksanaan kerja naik taraf longkang akan dilakukan selepas kerja baikpulih tebing disiapkan sepenuhnya bagi memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun dan berkesan.
“Saya akan terus memantau perkembangan projek ini dari semasa ke semasa agar ia dapat disiapkan mengikut jadual serta memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk setempat,” kata Mohd Zaidy.




