26 tong drum disyaki pelupusan haram disiasat

JEMPOL: Sebanyak 26 tong drum disyaki mengandungi buangan terjadual dilupuskan secara haram berhampiran Ladang FELCRA Ayer Hitam, Bandar Sri Jempol.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam berkata, maklumat tersebut diperolehi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan.
“Isu ini perlu dipandang serius kerana berpotensi memberi kesan kepada alam sekitar dan kesihatan awam.
“Kesemua tong berkenaan telah dikawal rapi di lokasi dan ditutup dengan kanvas plastik bagi mengelakkan sebarang risiko pencemaran. Setakat ini, tiada aliran tumpahan ke kawasan air berhampiran dan lokasi juga berada jauh dari sungai.
“Persampelan telah dilakukan dan bahan yang ditemui akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut, manakala siasatan bagi mengesan pihak bertanggungjawab serta pemilik tanah sedang giat dijalankan.
“Tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pelupusan haram tersebut kerana ia melanggar undang-undang dan boleh mengancam keselamatan awam.
“Saya akan terus memantau perkembangan kes ini dan memastikan tindakan susulan dilaksanakan dengan segera demi melindungi kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar,” katanya.



