Berita

Kerajaan perkukuh kesiapsiagaan hadapi krisis tenaga global: Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan akan terus memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi krisis tenaga global yang semakin meruncing serta ketidaktentuan ekonomi dunia ketika ini.

Menurut beliau, perkara itu dibincangkan secara mendalam dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), dengan tumpuan khusus terhadap implikasi krisis berkenaan kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat di Malaysia.

“Dunia kini memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu. Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya.

“Justeru, kita tidak boleh alpa atau terlalu selesa,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Beliau menegaskan bahawa negara perlu bersiap siaga dengan disiplin, kecekalan dan semangat kebersamaan yang tinggi bagi mendepani cabaran tersebut.

Dalam masa sama, Anwar Ibrahim berkata asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan.

Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data serta realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan daripada pihak industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru rakyat agar memperkukuh ekonomi domestik dengan mengutamakan barangan tempatan serta menyokong usahawan dalam negara.

Katanya, kekuatan dalaman merupakan benteng utama dalam menghadapi kesan krisis tenaga global susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.

Dalam pada itu, kerajaan memberi jaminan akan terus memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi negara terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang diambil.

Show More

Related Articles

Back to top button