BeritaMenarik

Kerosakan jalan di persimpangan Ulu Temiang – Lebuhraya LEKAS akan dibaiki segera

SEREMBAN: Kerosakan jalan dan isu sempadan had penyelenggaraan di susur keluar dan masuk Persimpangan Ulu Temiang di Lebuhraya LEKAS akan diatasi dengan segera.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, YB J.Arul Kumar berkata, persimpangan ini telah dibuat oleh pemaju untuk menghubungkan ke kawasan Ulu Temiang dan ke Jalan Temiang – Pantai dan telah dibuka untuk kegunaan sejak tahun 2017.

“Selepas itu jalan ini telah diserahkan kepada Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta penyelenggaraan di sebahagian jalan telah mula dilaksanakan oleh agensi-agensi tersebut.

“Tetapi sebahagian jalan masih tidak ada agensi yang diselenggara dan menyebabkan kerosakan jalan di bahagian sambungan jambatan dan mendapan jalan.

“Kerosakan-kerosakan ini telah menyebabkan beberapa kemalangan telah berlaku.

“Isu dalam agensi yang sepatuntya menyelenggara kawasan tersebut tidak ada satu kata putus sejak 2017,” jelas Arul.

Menurut Arul, sebelum ini beliau telah membangkitkan isu ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Saya juga telah menekankan isu-isu pertikaian penyelenggaraan jalan sepatutnya diselesaikan segera dan tidak boleh membiarkan pengguna jalan terus menjadi mangsa akibat kemalangan.

“Sebagai susulan mesyuarat antara semua pihak telah diadakan pada 21 Mac 2024 dengan kehadiran semua agensi terbabit.

“Akhirnya semua pihak telah akur dengan beberapa keputusan yang telah dibuat enam tahun lepas dalam had penyelenggaraan di susur keluar tersebut.

“Pihak pemaju telah bersetuju untuk membaiki beberapa mendapan jalan yang berlaku di susur keluar ke Ulu Temiang dari Lebuhraya LEKAS dengan kadar segera,” ujar Arul Kumar.

Arul Kumar berkata, MBS juga telah mengambil tindakan penyelesaian jangka pendek dengan menutup semua lubang di tiga kawasan sambungan jambatan serta membaiki beberapa kerosakan lain di kawasan tersebut sehingga penyelesaian secara keseluruhan dilaksanakan.

“Selepas ini kawasan ini akan berada dibawah penyelengaraan MBS sehingga kawasan dalam LEKAS tersebut diserahkan kepada JKR kelak.

“Ini kerana sebelum ini memang mempunyai keputusan untuk menyerahkan kawasan tersebut untuk penyelenggaraan di bawah JKR,” kata beliau.

Arul Kumar berkata demikian selepas mempengerusikan satu mesyuarat untuk menyelesaikan masalah ini bersama semua pihak berkepentingan, iaitu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), JKR, MBS, LEKAS, Pemaju dan wakil rakyat kawasan.

Show More

Related Articles

Back to top button