
SEREMBAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi keutamaan kepada usaha mengurangkan kesesakan penjara termasuk memastikan kanak-kanak tidak ditempatkan bersama penghuni lain di depot imigresen.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah yang ditahan bersama ibu bapa dalam operasi penguatkuasaan imigresen kini ditempatkan di pusat khas dikenali sebagai Baitul Mahabbah.
“Buat masa sekarang, keutamaan kami ialah inisiatif mengurangkan kesesakan penjara.
“Jika melibatkan depot imigresen, inisiatif mengeluarkan kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah daripada depot telah dilaksanakan menerusi inisiatif Baitul Mahabbah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Citra Negara: Sekolah Selamat di daerah Seremban.
Menurut Saifuddin, apabila Jabatan Imigresen Malaysia menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap ibu bapa terdapat situasi anak-anak yang turut berada bersama mereka.
“Sudah tentu kita tidak boleh hanya menahan ibu bapa dan meninggalkan anak-anak.
Anak-anak turut dibawa bersama namun mereka tidak ditempatkan di depot bersama penghuni lain. Sebaliknya, mereka ditempatkan di Baitul Mahabbah,” katanya.
Saifuddin berkata, setakat ini terdapat tujuh Baitul Mahabbah yang menempatkan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah di bawah jagaan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Kami sedar bahawa langkah ini masih belum memenuhi sepenuhnya piawaian antarabangsa berkaitan ‘alternative to detention’. Namun sekurang-kurangnya kita dapat menyediakan persekitaran yang lebih kondusif,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata fokus kementerian ketika ini adalah menangani isu kesesakan penjara terlebih dahulu manakala perkara lain boleh diuruskan secara pentadbiran.
“Arahan saya kepada pihak berkuasa penjara ialah memberi tumpuan kepada inisiatif mengurangkan kesesakan penjara terlebih dahulu. Itu keutamaan kita.
“Isu yang lain masih boleh diuruskan secara pentadbiran,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata Program Citra Negara: Sekolah Selamat diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran pelajar terhadap pelbagai ancaman keselamatan yang semakin kompleks termasuk jenayah, penyalahgunaan dadah, buli siber, ekstremisme dan penipuan dalam talian.
Menurut Saifuddin, sekolah perlu menjadi tempat yang benar-benar selamat daripada unsur keganasan, pergaduhan, gangsterisme, gangguan seksual serta pencerobohan pihak luar.
“Saya fikir ini segmen yang paling tepat untuk kita sebarkan maklumat tentang buli fizikal, pergaduhan dan gangsterisme, gangguan seksual, pencerobohan oleh pihak luar, kecurian dan jenayah lain,” katanya.
Tambah Saifuddin, KDN turut memperkenalkan Pegawai Perhubungan Sekolah daripada tiga agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) bagi memperkukuh usaha pencegahan serta penyampaian maklumat kepada pelajar.
Saifuddin turut mengingatkan pelajar supaya tidak terjebak menjadi pemilik mule account yang digunakan sindiket penipuan dalam talian.
“Kebanyakan kes melibatkan pelajar universiti. Sindiket hanya menawarkan agar akaun mereka digunakan dan sebagai balasan diberikan upah sekitar RM1,000 hingga RM2,000,” katanya.
Saifuddin menegaskan bahawa trend penipuan dalam talian yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menunjukkan peningkatan membimbangkan, dengan golongan muda antara yang paling mudah dieksploitasi.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa walaupun kes pelajar terpengaruh dengan fahaman ekstremisme disifatkan terpencil, pihak polis tetap memandang serius sebarang petunjuk awal yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Kes ini saya sifatkan sebagai kes terpencil. Namun, elemen keselamatan walau sekecil mana pun tetap berada dalam radar polis dan kita menganggapnya serius.” katanya



