Berita

Kontinjen Negeri Sembilan Sertai Anugerah NILAM Pendidikan Khas Kebangsaan 2026

SEREMBAN: Seramai 10 murid daripada Negeri Sembilan akan mewakili negeri ini dalam Pertandingan Anugerah NILAM Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung di Ipoh, Perak bermula 8 hingga 11 Jun ini.

Bagi menghargai dan memberi semangat kepada para peserta, Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sembilan telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Negeri Sembilan pada Isnin.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNNS), Shamsudin Redza.

Kontinjen Negeri Sembilan ke pertandingan berprestij itu terdiri daripada 10 murid serta 15 pegawai dan guru pengiring yang akan menggalas tanggungjawab membawa nama negeri di pentas kebangsaan.

Pertandingan Anugerah NILAM Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 akan berlangsung di Hotel Kingston, Ipoh, Perak Darul Ridzuan dan menghimpunkan peserta dari seluruh negara bagi mengetengahkan kecemerlangan budaya membaca dalam kalangan murid pendidikan khas.

Majlis penyerahan bendera itu menjadi simbolik sokongan dan komitmen Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dalam memperkasakan budaya ilmu serta memberi pengiktirafan kepada murid pendidikan khas yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam program NILAM.

Dalam majlis berkenaan, kontinjen Negeri Sembilan turut dizahirkan dengan ucapan selamat maju jaya agar berjaya mengharumkan nama negeri serta mencapai kecemerlangan sepanjang pertandingan berlangsung.

Program NILAM merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertujuan membudayakan amalan membaca dan meningkatkan tahap literasi dalam kalangan murid sejajar dengan aspirasi melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.

Motto ‘Ilmu Teras Kehidupan’ terus menjadi pegangan dalam usaha membentuk modal insan yang berkualiti dan berpengetahuan melalui pembudayaan ilmu dalam sistem pendidikan negara.

Show More

Related Articles

Back to top button