KPDN Negeri Sembilan Serbu Stor LPG Tidak Berlesen, Rampas 127 Tong LPG

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan membongkar kegiatan penyimpanan gas petroleum cecair (LPG) secara haram selepas menyerbu sebuah stor tidak berlesen di Jalan Kuala Sawah menerusi Ops Tiris 4.0 Bersepadu di sini.
Menurut Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir bin Mazlan, serbuan itu dilakukan hasil pemantauan dan risikan selama seminggu terhadap sebuah premis yang dipercayai menjalankan aktiviti urus niaga Barang Kawalan Berjadual iaitu LPG tanpa lesen sah di bawah peruntukan undang-undang.
“Siasatan awal mendapati premis terbabit dipercayai menjalankan aktiviti penjualan LPG tanpa lesen sah serta mengedarkannya kepada pelanggan termasuk kediaman persendirian dan premis perniagaan seperti restoran.
“Stor berkenaan juga dipercayai telah menyimpan stok LPG tersebut dalam tempoh kira-kira enam bulan sebelum diserbu pihak penguat kuasa,” katanya.
Dalam operasi yang dijalankan hari ini, sebanyak 127 tong LPG berkapasiti 14 kilogram dan 50 kilogram serta beberapa dokumen berkaitan telah disita bagi membantu siasatan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM16,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah” katanya.
Jiika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Bagi syarikat atau pertubuhan pula, denda boleh mencecah RM2 juta dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya.
Dalam pada itu, KPDN Negeri Sembilan menegaskan pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan semua sektor perdagangan mematuhi undang-undang serta membanteras sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan bersubsidi.



