SEREMBAN: Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Sembilan 2026 yang akan berlangsung di Dataran Melang, Kuala Pilah pada Ahad ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Noorzunita Mohd Ibrahim berkata, program berkenaan dianjurkan bagi menghargai jasa dan pengorbanan golongan bapa di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan.
“Mari luangkan masa bersama keluarga dan raikan jasa serta pengorbanan para bapa. Saya menantikan kehadiran anda semua di Dataran Melang, Kuala Pilah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.
Menurutnya, program yang dijadualkan bermula dari jam 7.30 pagi hingga 1 tengah hari itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga.
Antara tarikan utama yang disediakan ialah tayangan khas perlawanan FIFA World Cup di skrin besar dengan konsep santai ala mamak, selain pertandingan keluarga dan sukaneka yang boleh disertai oleh pengunjung pelbagai peringkat umur.
Turut diadakan ialah cabaran istimewa untuk para bapa, aktiviti Kahoot! dan Trivia World Cup, serta cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.
Bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan, program itu turut menampilkan aktiviti santai melibatkan bapa dan anak, selain menyediakan saringan pemeriksaan kesihatan dan Jualan Rahmah MADANI untuk kemudahan pengunjung.
Lebih menarik, sambutan berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran khas pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) yang dijangka menjadi antara tarikan utama kepada peminat bola sepak.
Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Sembilan 2026 akan diadakan pada 28 Jun ini di Dataran Melang, Kuala Pilah dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.



