Klinik Desa Jambatan Serong Terima Peruntukan Segera RM125,000
SEREMBAN : Klinik Desa Jambatan Serong yang baharu dirasmikan hari ini menerima peruntukan segera berjumlah RM125,000 bagi memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan primer kepada penduduk setempat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, peruntukan itu disalurkan bagi memastikan fasiliti berkenaan dapat beroperasi dengan lebih berkesan selain meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada masyarakat.
“Bagi memastikan kelestarian perkhidmatan di sini, saya mengumumkan peruntukan segera berjumlah RM125,000 untuk memperkasakan lagi penyampaian penjagaan kesihatan primer di fasiliti ini.
“Peruntukan ini akan membantu memastikan perkhidmatan kesihatan asas dapat diberikan secara lebih cekap, selesa dan berkualiti kepada penduduk sekitar,” katanya ketika merasmikan bangunan baharu Klinik Desa Jambatan Serong, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kemudahan baharu yang menggantikan bangunan kayu separuh kekal yang digunakan sejak tahun 1979 itu bakal memberi manfaat kepada 777 penduduk dalam dua zon operasi klinik berkenaan.
“Antara perkhidmatan utama yang akan terus diperkasakan ialah rawatan pesakit luar, perkhidmatan kesihatan ibu dan anak (MCH) serta pemantauan kesihatan warga emas.
“Penyediaan peruntukan tambahan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan menikmati kemudahan kesihatan yang berkualiti, selesa dan selamat,” tambahnya.
Pada masa sama, Dzulkefly menyifatkan pembukaan bangunan baharu klinik tersebut sebagai satu langkah penting dalam meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan primer yang lebih moden dan mesra pengguna.
Lawatan perasmian itu turut menjadi permulaan kepada siri lawatan kerja rasmi Menteri Kesihatan selama dua hari ke Negeri Sembilan bagi meninjau sendiri perkembangan serta keperluan sektor kesihatan di negeri ini.



