Berita

MAINS Catat Peningkatan Keputusan SPM Anak Asnaf Negeri Sembilan

SEREMBAN: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan anak-anak asnaf di Negeri Sembilan menunjukkan trend peningkatan yang membanggakan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pendidikan secara bersepadu.

Menurut Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), peningkatan tersebut bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan bersama melibatkan gabungan bantuan material, sokongan kewangan serta pengukuhan jati diri secara holistik.

“Kerjasama strategik bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) turut memainkan peranan penting dalam memastikan golongan asnaf tidak tercicir daripada arus pendidikan

“Peningkatan prestasi itu adalah hasil perancangan tersusun dan kerjasama strategik bersama JPNS bagi memastikan golongan asnaf tidak tercicir dalam pendidikan,” katanya.

Tambahnya, bantuan kewangan yang disalurkan secara konsisten setiap tahun termasuk bantuan kelengkapan sekolah dan bantuan awal persekolahan turut membantu mengurangkan beban keluarga.

“Inisiatif ini membolehkan pelajar hadir ke sekolah dengan lebih yakin tanpa dibelenggu masalah kekurangan keperluan asas pembelajaran,” katanya.

Dalam usaha memperkukuh prestasi akademik, MAINS bersama JPNS melaksanakan Program Tuisyen Pro Max A’ SPM yang melibatkan 17 buah sekolah sebagai pusat tuisyen di seluruh daerah di Negeri Sembilan.

“Program ini menyediakan bimbingan intensif bagi subjek kritikal menerusi guru-guru terpilih bagi membantu pelajar meningkatkan teknik pembelajaran dengan lebih berkesan,” katanya.

Selain akademik, MAINS turut memberi penekanan terhadap pembangunan sahsiah menerusi Program Pembangunan Jati Diri yang dilaksanakan Unit Kaunseling secara berfasa dari peringkat sekolah rendah hingga menengah.

“Antara program yang dilaksanakan termasuk Program Sahsiah Unggul, Program Career Insight serta Program Advokasi Buli dan Seksualiti yang bertujuan membentuk akhlak, memberi pendedahan kerjaya serta meningkatkan kesedaran sosial dan perlindungan emosi pelajar,” katanya.

“Keberkesanan pendekatan bersepadu itu dapat dilihat apabila daripada 472 calon anak asnaf yang menduduki SPM, seramai 210 pelajar atau 44.5 peratus berjaya memperoleh sekurang-kurangnya satu gred A”katanya.

Daripada jumlah itu, lima pelajar mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 9A, diikuti 12 pelajar (8A) dan 27 pelajar (7A).

Turut direkodkan, 25 pelajar memperoleh 6A, 22 pelajar 5A dan 31 pelajar 4A, manakala 22 pelajar memperoleh 3A, 25 pelajar 2A dan 41 pelajar 1A.

“Pencapaian ini bukan sahaja menunjukkan peningkatan kadar kelulusan, malah mencerminkan peningkatan ketara dari segi kualiti keputusan dalam kalangan anak asnaf,” katanya.

Hasil usaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), program pembangunan sahsiah ini berjaya membentuk kekuatan emosi serta jati diri pelajar, sekali gus menjadikan mereka lebih stabil dari segi psikologi serta mempunyai hala tuju masa depan yang lebih jelas.

Show More

Related Articles

Back to top button