Berita

NSFC jalin kerjasama tiga tahun bersama NE-G sebagai rakan gel tenaga rasmi

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC hari ini mengumumkan kerjasama strategik selama tiga tahun bersama jenama nutrisi sukan tempatan, NE-G sebagai Rakan Gel Tenaga Rasmi kelab bagi memperkukuh aspek prestasi dan sains sukan pasukan.

Majlis simbolik menandatangani kerjasama tersebut berlangsung di Wisma Negeri dan disaksikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Negeri Sembilan FC, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.

Menerusi perjanjian itu, NE-G akan membekalkan sokongan nutrisi tenaga kepada skuad utama The Jangs sepanjang tempoh kerjasama berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus berkata, aspek nutrisi memainkan peranan penting dalam memastikan pemain dapat mengekalkan tahap prestasi terbaik sepanjang musim.

“Dalam misi kami untuk meletakkan Negeri Sembilan FC di tahap yang lebih kompetitif, aspek nutrisi tidak boleh dipandang remeh.

“Keputusan untuk bekerjasama dengan NE-G selama tiga tahun ini dibuat berdasarkan kualiti produk mereka yang terbukti mampu mengekalkan tahap prestasi atlet di tahap tertinggi,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu juga diyakini mampu memberikan kelebihan fizikal kepada pemain ketika menghadapi jadual kompetitif liga.

“Dengan harga yang kompetitif dan komitmen padu daripada NE-G, kami percaya sinergi ini akan memberikan kelebihan fizikal yang diperlukan oleh pemain untuk beraksi dengan penuh bertenaga sehingga minit terakhir perlawanan,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengurus Operasi NE-G, Amir Shah Daud menyifatkan kerjasama tersebut sebagai satu pencapaian besar buat jenama nutrisi tempatan itu dalam menembusi arena bola sepak profesional negara.

“Alhamdulillah, hari ini merupakan satu detik yang sangat bermakna bagi pasukan kami kerana berjaya melancarkan produk gel tenaga tempatan secara rasmi bersama Negeri Sembilan FC.

“Bermula dari sebuah idea kecil, kami amat berbangga melihat logo NE-G Fuel kini berdiri teguh bersama logo NSFC,” kata Amir Shah.

Show More

Related Articles

Back to top button