Berita

Majikan diminta beri keutamaan kepada pengambilan pekerja tempatan

SEREMBAN: Seminar Perburuhan Kolabarasi Tripartite Di Antara Majikan, Pekerja Dan Agensi Kerajaan Dalam Memperkasa Ekonomi Mampan di Negeri Sembilan telah berlangsung di Klana Resort, Seremban dan telah dirasmikan oleh Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam.

Veerapan berkata, penganjuran program ini melibatkan rakan–rakan strategik dari pelbagai agensi kerajaan khususnya Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan, PERKESO Negeri Sembilan, Jabatan Penjara Negeri Sembilan, HRD CORP Negeri Sembilan dan Jabatan Pembangunan Kemahiran Negeri Sembilan.

“Program ini disasarkan kepada majikan-majikan yang berpotensi untuk melaksanakan inisiatif ini dan ia penting bagi memperkukuhkan hubungan antara ketiga-tiga pihak utama dalam ekosistem pekerjaan.

“Konsep tripartisme merujuk kepada kerjasama antara majikan, pekerja, dan kerajaan dalam memastikan kestabilan pasaran buruh, meningkatkan produktiviti, serta menjamin hak dan kebajikan pekerja serta majikan.

“Selain itu, objektif dan matlamat program ini adalah bagi menggalakkan pihak majikan di Negeri Sembilan bagi memberi keutamaan di dalam pengambilan pekerja tempatan dari pelbagai sumber sedia ada dalam negara sebagai alternatif untuk mengurangkan pergantungan penggajian kepada pekerja asing.

“Pendedahan kepada majikan bagi pengambilan pekerja tempatan, daripada sumber yang ditawarkan oleh agensi kerajaan contohnya Jabatan Penjara Malaysia melalui Orang Diselia (ODS), Orang Diparol (ODP) dan Orang Bebas Berlesen (OBB),” ujar Veerapan.

Veerapan tambah, setakat tahun ini, seramai 549 pekerja tempatan dalam kalangan prospek daripada penjara di Negeri Sembilan dibekalkan kepada 76 majikan khususnya dalam sektor perkilangan untuk menjalani latihan kerjaya termasuk 368 banduan ODS di sembilan buah syarikat, 135 OBB di 54 syarikat serta 46 ODP di 13 syarikat.

“Seminar ini akan memberi pendedahan dan penjelasan fungsi–fungsi yang berkaitan seperti PERKESO berhubung isu gig, HRD CORP melalui latihan Second Chances and Opporturnities For People To Excel (SCOPE), dan JPK berkaitan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan Program Akademi Dalam Industri (ADi) yang melibatkan tahanan di penjara.

“Dalam pada itu, diharap galakan daripada kerajaan dan insentif yang ditawarkan ini dapat menarik minat untuk semua majikan khususnya dalam memperkasakan pekerja tempatan bagi menggantikan pekerja asing serta memberi pendedahan kepada majikan yang berminat menerokai alternatif penggajian pekerja tempatan,” jelas Veerapan.

Majlis ini turut dihadiri, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan, Roslan Bahari; Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, Wan Kefli Hamid; Pengarah Penjara Negeri Sembilan, Mustaqim Che Bisi dan Pengurus Cawangan HRD Corp Negeri Sembilan, Mohd Khairul Nizam Supaat.

Show More

Related Articles

Back to top button