Negeri Sembilan hos kepada 500 syarikat pembuatan

KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan merupakan hos kepada lebih 500 syarikat pembuatan asing dan tempatan.
Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, disebabkan itu, Negeri Sembilan berjaya mencatatkan prestasi pelaburan yang sangat memberansangkan.
“Pada 2022, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) adalah sebanyak RM50.9 billion dan pada tahun 2023 ia meningkat sebanyak 1.8 peratus dengan nilai RM51.9 billion.
“Dalam pada itu, KDNK Negeri Sembilan dipacu oleh sektor perkhidmatan yang telah menyumbang sebanyak 52.9 peratus, dan sektor pembuatan dengan sumbangan berjumlah 37.8 peratus.
“Kebanyakan syarikat yang melabur di negeri tertumpu kepada daerah Seremban seperti Nilai, Senawang, Sendayan dan Enstek.
“Antara syarikat multinasional dan terkemuka yang telah bertapak di negeri ini adalah Samsung SDI Energy, Dutch Lady, Ajinomoto, Nestle, Daihatsu dan banyak lagi.
“Faktor kedudukan negeri ini yang terletak di sebelah selatan menjadikan ia sebagai destinasi semula jadi yang strategik untuk menerima impak limpahan daripada Konurbasi Nasional,” kata Teo.