Berita

Sasar 43 Juta Pelawat Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah melancarkan secara rasmi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dalam satu sambutan penuh warna-warni yang berlangsung di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Tiong King Sing yang turut hadir memeriahkan sambutan pembukaan kempen berkenaan.

Pelancaran VM2026 ini turut diadakan secara serentak di 55 pintu masuk utama dan lokasi terpilih di kesemua 13 negeri melambangkan kesepaduan nasional dalam menyambut ketibaan pelawat tempatan dan antarabangsa pada hari pertama tahun 2026.

“VM2026 bukan sekadar sebuah kempen promosi pelancongan malah merupakan satu gerakan nasional yang menyatukan rakyat Malaysia”. Katanya.

Menurutnya, berteraskan tema “Surreal Experiences”, Malaysia menyasarkan 43 juta pelawat antarabangsa pada tahun 2026.

Tahun Melawat Malaysia 2026 bukan sekadar kempen pelancongan sebaliknya merupakan satu gerakan nasional yang mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian serta kepelbagaian budaya negara. Ia juga melambangkan komitmen Malaysia dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang inklusif, kreatif dan mesra pengunjung.

“Kejayaan VM2026 bergantung kepada penglibatan menyeluruh semua pihak termasuk kerajaan negeri, industri pelancongan serta masyarakat setempat.” Tambahnya lagi.

Beliau juga berkata melalui kerjasama strategik pelbagai pihak, Malaysia mampu muncul sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia dengan pengalaman yang unik dan berbeza untuk setiap pelawat.

Kempen VM2026 turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, penampilan maskot rasmi Wira dan Manja, pemberian cenderamata eksklusif serta pengenalan Kalendar VM2026 yang merangkumi lebih 300 acara pelancongan dan kebudayaan sepanjang tahun.

Show More

Related Articles

Back to top button