BeritaKolumnis

Manfaat besar Belanjawan 2025 kepada golongan belia

Dr.Mohd Fauzi Fadzil

Belanjawan 2025 Kerajaan Persekutuan yang bertemakan ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’ dilihat memberi banyak penumpuan terhadap usaha mensejahterakan rakyat secara umum dan membangunkan belia secara khusus.

Terdapat tiga elemen penting yang diberi penumpuan oleh Kerajaan MADANI dalam membangunkan belia melalui Belanjawan 2025 iaitu kehidupan yang stabil, peningkatan ilmu dan pengembangan sosial.

Pembangunan belia dari sudut kehidupan yang stabil di dalam Belanjawan 2025 dapat dilihat melalui kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 yang memberi impak besar kepada lebih sejuta pekerja belia di Malaysia.

Selain itu, dalam memastikan golongan belia mempunyai kehidupan yang stabil maka ‘Skim Step Up Financing’ diperkenalkan dengan tawaran bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh lima tahun pertama untuk golongan belia yang ingin memiliki rumah pertama.

Usaha ke arah memastikan golongan belia mempunyai kehidupan yang stabil turut dilakukan dengan memperkenalkan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang menggalakkan golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan melalui peruntukan sebanyak RM20 juta.

Seterusnya Belanjawan 2025 membantu membangunkan belia melalui elemen peningkatan ilmu, Program Anak Kita dan Sokongan TVET adalah inisiatif yang diperkenalkan untuk menangani isu keciciran pendidikan melibatkan 80,000 belia di Malaysia dengan memfokuskan kepada minat dalam bidang TVET.

Program Latihan Industri Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES) turut diperkenalkan sebagai pemangkin terhadap elemen peningkatan ilmu.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama TalentCorp bagi membolehkan syarikat melatih mahasiswa dalam bidang STEM.

Belanjawan 2025 memperkenalkan Program Belia Kreatif MADANI untuk meningkatkan ilmu dalam kalangan belia melalui penggalakkan bengkel kemahiran videografi, kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem serta pertandingan filem pendek dengan harapan ia dapat memeriahkan lagi industri penciptaan idea dan kreatif.

Elemen terakhir terkait pembangunan belia yang cuba dibangunkan oleh Belanjawan 2025 adalah pengembangan sosial dan bagi mencapai hasrat tersebut maka Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0) diperkenalkan semula supaya dapat memperkukuhkan jati diri dan semangat kenegaraan di kalangan belia.

Program Rakan Muda yang baru diperkenalkan semula turut diperkasakan di dalam Belanjawan 2025 demi membangunkan belia untuk menjadi generasi yang dinamik, berdaya tahan dan inovatif.

Belia yang berkembang baik dari segi sosial perlu terlibat secara konsisten dalam aktiviti sukan, justeru Belanjawan 2025 memperuntukkan dana untuk Penyelenggaraan Kemudahan Belia dan Sukan serta Geran Padanan Sukan.

Melalui dua inisiatif tersebut maka golongan belia akan mempunyai akses kepada fasiliti sukan yang berkualiti serta mereka akan digalakkan untuk menganjurkan pertandingan sukan menggunakan platform persatuan dan NGO.

Secara keseluruhannya Belanjawan 2025 dilihat sebagai usaha Kerajaan Madani memberi ruang kepada golongan belia untuk menyumbang secara aktif dalam pembangunan negara sekaligus menjadi pemacu utama reformasi negara yang inklusif.

Dr.Mohd Fauzi Fadzil
Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan
Majlis Belia Malaysia

Show More

Related Articles

Back to top button