Masjid Bongek siap dengan kos RM6 juta, dilengkapi CCTV dan penyaman udara

KOTA: Masjid Kariah Bongek, Daerah Rembau telah dibina semula bagi menggantikan masjid sedia ada yang telah berusia lebih 70 tahun dengan pelbagai kerosakan teruk akibat tragedi kebakaran pada April tahun 2021 lalu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Kerajaan Negeri dan keprihatinan Kerajaan Pusat melalui Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus (ICU), telah berganding bahu untuk meluluskan peruntukan siling berjumlah RM6.0 juta (Kerajaan Persekutuan RM3.6 juta, Kerajaan Negeri RM2.4 juta) bagi projek runtuh dan membina semula masjid ini.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan kerana membantu Kerajaan Negeri merealisasikan hasrat penduduk di sini.
“Untuk makluman, masjid baharu ini boleh menampung seramai kira-kira 360 orang jemaah dalam satu-satu masa sesuai dengan keluasan tapak masjid ini.
“Ia dibina bersebelahan dengan tapak asal yang sebahagiannya berada di dalam kawasan tanah wakaf orang awam serta tambahan tanah PTP (Pesuruhjaya Tanah Persekutuan) yang diurus oleh pihak RAC (Railway Assets Corporation),” ujar beliau.

Makmurkanlah rumah Allah
Menurut Aminuddin, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau juga turut memberi keizinan untuk menggunakan tanah lapang di luar kawasan masjid bagi pembinaan ruang meletak kenderaan tambahan.
“Semangat inilah yang kita mahukan melalui kerjasama dari agensi kerajaan dalam memastikan kemudahan dan fasiliti awam seperti masjid dapat dimanfaatkan dengan secara maksimum.
“Kita sebagai umat Islam secara tradisinya menjadikan masjid sebagai institusi terpenting dalam membangunkan modal insan, berperanan sebagai tempat pertemuan bagi sesebuah komuniti yang boleh menyumbang kepada kemakmuran serta keharmonian masyarakat setempat.
“Justeru, saya menyeru kepada Ahli Jawatankuasa Masjid supaya uruskan masjid ini dengan sebaiknya, rancang dan laksanakan program-program yang boleh mengimarahkan masjid secara istiqomah demi pembangunan ummah, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang kunjung tiba.
“Makmurkanlah rumah Allah ini, gunakanlah kemudahan yang disediakan dengan sebaiknya agar semua mendapat manfaat daripadanya secara berterusan,” kata Aminuddin semasa Majlis Penyerahan Masjid Baharu Kariah Bongek, Rembau.

Masjid mesra OKU
Aminuddin tambah, masjid yang dibina di atas tapak seluas 1.13 ekar ini dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti sistem pembesar suara, bilik imam, bilik pengurusan jenazah, tempat wuduk, menara masjid setinggi 14 meter, tempat letak kereta dan lain-lain kemudahan yang pastinya dapat memenuhi keperluan kariah setempat serta mesra untuk Orang Kurang Upaya (OKU).
“Saya juga dimaklumkan bahawa terdapat beberapa improvisasi yang diperkenalkan bagi meningkatkan lagi keselamatan dan keselesaan jemaah seperti penyediaan sistem CCTV dan televisyen, tambahan pintu akses ke masjid, tempat mandian jenazah jenis mudah alih dan tambahan tempat letak kereta di luar kawasan masjid.
“Nasihat saya kepada ahli kariah, uruskanlah kemudahan yang telah disediakan dan laksanakanlah amanah tersebut dengan sebaiknya.
“Saya berharap pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) juga dapat bersama-sama AJK Masjid dalam membantu menguruskan pengoperasian masjid ini,” katanya.

Projek siap tepat masa
Dalam pada itu, Aminuddin merakamkan ucapan tahniah kepada agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan dan Data Elemen Sdn Bhd selaku kontraktor utama serta semua pihak yang terlibat kerana projek pembinaan masjid ini berjaya disiapkan sepenuhnya pada tarikh siap asal kontrak, iaitu pada 6 Oktober 2025, tanpa sebarang lanjutan masa (EOT) dengan kos kontrak yang ditetapkan serta dalam lingkungan siling peruntukan projek.
“Ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan dan mencerminkan komitmen tinggi semua pihak terhadap penyampaian projek yang berintegriti dan menepati jadual.
“Pengurusan kewangan projek yang cekap, telus dan berdisiplin seperti ini perlu diteruskan oleh semua agensi pelaksana agar setiap ringgit wang rakyat dimanfaatkan sebaiknya.
“Selain daripada itu, terdapat beberapa kerja penambahbaikan ke atas rekabentuk dan kemudahan di masjid ini, agar ia berfungsi dengan lebih baik serta mesra pengguna,” jelas Aminuddin.



