KERJASAMA KKM-ROCHE: Bawa Cancer Care dekat dengan komuniti

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr.Dzulkefly Ahmad telah menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Roche Malaysia bagi inisiatif Cancer Care Closer to Community (CCC).
Dzulkefly berkata, kanser merupakan antara tiga beban utama Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di Malaysia, dengan lebih 60 peratus kes dikesan pada peringkat lewat (Tahap 3 dan 4).
“Hal ini bukan sahaja mengehadkan pilihan rawatan, malah meningkatkan tekanan emosi dan kewangan kepada keluarga, serta menambah beban kepada sistem kesihatan negara.
“Melalui inisiatif CCC, perkhidmatan rawatan dan susulan pesakit kanser tidak lagi hanya tertumpu di hospital rujukan besar.
“Ia akan diperluas ke hospital daerah dan klinik kesihatan, bermula dengan kanser payudara dan kolorektal.
“Usaha ini akan mengurangkan beban perjalanan, khususnya bagi pesakit di Sabah dan Sarawak, dan membolehkan rawatan diteruskan lebih dekat dengan komuniti,” jelas Dzulkefly.
MoU bersama Roche Malaysia memberi fokus kepada:
✅ Pembangunan model CCC yang boleh disesuaikan dan diperluas di seluruh negara
✅ Latihan jururawat onkologi melalui pendekatan Train-the-Trainer
✅ Sokongan nasihat strategik serta pembelajaran digital berterusan
Dzulkefly berkata, inisiatif ini melengkapkan usaha di bawah Pelan Kawalan Kanser Kebangsaan (NCCP), di samping kemajuan Malaysia dalam bidang perubatan presisi dan penyelidikan kanser.
“Ia juga selari dengan seruan WHO untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan berasaskan komuniti dan berpusatkan rakyat.
“Matlamat kita jelas, memastikan hasil rawatan yang lebih baik, akses yang adil, dan tiada siapa yang tercicir dalam perjuangan melawan kanser,” ujar beliau.