Berita

Nasihat Tuanku Muhriz kepada netizen

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah agar para netizen bertanggungjawab semasa menulis komen di media social.

“Kepada para netizen, Beta menyeru agar setiap ulasan atau komen terhadap sesuatu isu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan kefahaman yang mendalam.

“Janganlah terlalu mudah mempercayai dan menyebarkan sesuatu berita tanpa siasatan serta pengesahan yang sewajarnya.

“Sikap terburu-buru dan tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat boleh membawa kesan yang tidak baik kepada masyarakat dan negeri,” titah Baginda.

Sementara itu, Tuanku Muhriz turut membangkitkan satu perkara yang Baginda menyifatkan amat penting kepada Negeri Sembilan dan juga kepada Baginda sendiri.

“Perkara ini ditujukan khususnya kepada individu-individu yang telah diberikan jawatan atau kedudukan yang tinggi, yang datang bersama amanah serta tanggungjawab yang besar.

“Oleh itu, segala tindakan dan keputusan hendaklah dibuat setelah meneliti semua fakta dan maklumat yang berkaitan.

“Selain itu, Beta menegaskan bahawa setiap tindakan dan keputusan yang diambil mestilah berlandaskan garis panduan serta undang-undang yang telah ditetapkan.

“Jangan sekali-kali membuat keputusan atau tindakan yang dipengaruhi oleh hawa nafsu dan emosi semata-mata.

“Kegagalan mematuhi prinsip ini boleh menjejaskan integriti pentadbiran serta kesejahteraan negeri,” titah Baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian di Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15.

 

Show More

Related Articles

Back to top button