Berita

26 tong drum disyaki buangan terjadual ditemui di Jempol

BANDAR SERI JEMPOL: Sebanyak 26 tong drum berkapasiti 200 liter yang disyaki mengandungi buangan terjadual ditemui dalam satu kejadian pelupusan haram di kawasan berhampiran Ladang FELCRA Ayer Hitam, di sini.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan yang berpotensi memberi kesan kepada alam sekitar dan kesihatan awam.

Menurut beliau, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 14 April lalu sebelum satu siasatan bersepadu dijalankan keesokan harinya dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis, bomba serta pihak berkuasa tempatan.

“Hasil siasatan mendapati sebanyak 26 tong drum berkapasiti 200 liter setiap satu telah ditemui di lokasi tersebut, dipercayai mengandungi bahan seperti coolant dan paint sludge.

“Kesemua tong berkenaan kini dikawal rapi dan telah ditutup menggunakan kanvas plastik bagi mengelakkan risiko pencemaran.

“Setakat ini, tiada aliran tumpahan ke kawasan air berhampiran dan lokasi juga berada jauh dari sungai,” kata Veerapan.

Tambah beliau, tindakan persampelan telah dilakukan dan bahan berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut.

Dalam pada itu, siasatan bagi mengesan pihak bertanggungjawab serta pemilik tanah sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa.

Veerapan turut menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pelupusan haram tersebut.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan alam sekitar serta kesihatan awam.

“JAS Negeri Sembilan akan terus memantau perkembangan kes tersebut dan memastikan tindakan susulan dilaksanakan segera demi melindungi kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar,” tegas Veerapan.

Show More

Related Articles

Back to top button