BeritaMenarik

Negeri Sembilan arah majikan pindah pekerja asing ke CLQ dalam tiga bulan

SEREMBAN: Majikan di Negeri Sembilan diarah memindahkan pekerja asing yang menduduki penginapan haram yang tiada perakuan Jabatan Tanaga Kerja (JTK) untuk berpindah segera ke pusat penginapan (CLQ) yang sedia ada dalam tempoh tiga bulan.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Veerapan Superamaniam berkata, terdapat 25 penyedia penginapan (CLQ) yang telah mendapat perakuan JTK dan boleh menampung kapasiti berjumlah 8,349 orang pekerja.

“Terkini melalui rekod JTK Negeri Sembilan, mendapati masih terdapat banyak kekosongan di CLQ yang telah diberi perakuan iaitu dianggarkan berjumlah 3,751 orang.

“Ini bermakna majikan tidak mempunyai alasan untuk tidak menempatkan pekerja asing yang mereka gajikan di penginapan yang telah diberi perakuan.

“Antara kesalahan dikesan yang dilakukan oleh pihak majikan dan subkontraktor adalah meletakkan pekerja asing mereka di tempat tinggal yang daif, kotor, penuh sesak dan tidak disediakan kemudahan seperti tilam, katil dan almari berkunci,” jelas Veerapan.

Menurut Veerapan, kawasan Nilai, Mantin, Senawang dan Seremban merupakan tumpuan lambakan pekerja warga asing yang agak serius.

“Hasil siasatan mendedahkan di kawasan ini mempunyai banyak rumah kedai khususnya rumah kedai tiga tingkat yang kosong dengan kadar sewa yang sangat rendah jika dibandingkan dengan kawasan lain.

“Selain itu, terdapat juga bangunan terbengkalai yang digunakan oleh pihak majikan untuk menempatkan pekerja asing ini bagi mengelakkan dari dikesan oleh pihak penguatkuasa khususnya JTK.

“Memandangkan isu penginapan ini merupakan isu yang serius di Negeri Sembilan dan berdasarkan situasi semasa yang mendesak maka ianya perlulah ditangani dengan segera,” ujar Veerapan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button