Negeri Sembilan lancar Mantai Rayo 2025, meriahkan sambutan Aidilfitri

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melancarkan Program Mantai Rayo 2025 sebagai inisiatif membantu rakyat membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah dan berpatutan.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, Mantai Rayo bukan sekadar acara jualan daging dan barangan keperluan pada harga lebih rendah, tetapi juga satu simbol budaya warisan Negeri Sembilan yang terus dipelihara.
“Program ini diadakan di pelbagai lokasi seluruh negeri bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaatnya.
“Selain itu, inisiatif ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat serta menghidupkan suasana perayaan yang lebih bermakna.
“Kerajaan Negeri juga memberi jaminan bahawa bekalan daging dan bahan mentah mencukupi sepanjang tempoh program berlangsung.
“Program Mantai Rayo 2025 dijangka mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat, selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk memastikan semua lapisan masyarakat dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan tanpa beban kewangan yang berlebihan,” kata Aminuddin.
Dalam pada itu, 100 buah keluarga dalam setiap DUN akan menerima bantuan barang persiapan raya.
“Barangan tersebut seperti beras, minyak masak dan juga telur.
“Pengagihan akan diselaraskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing,” ujar beliau lagi.