BeritaMenarik

Negeri Sembilan rancang promosi ‘Medical Tourism’

SEREMBAN: Kerajaan Negeri bekerjasama dengan pihak Medical Healthcare Travel Council (MHTC) dalam perancangan mempromosikan ‘Medical Tourism’ di Negeri Sembilan.

Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Ampangan – PH) berkata, pada masa ini, Kerajaan Negeri dalam tindakan untuk mengambil inisiatif bagi menubuhkan Pasukan Pelaksana Pelancongan Kesihatan (PPPK) Negeri Sembilan yang terdiri daripada agensi Kerajaan Negeri termasuk agensi Persekutuan.

“Pasukan pelaksana ini seterusnya akan berperanan dalam merangka gerak kerja yang holistik, membangunkan pelan tindakan pelancongan kesihatan Negeri Sembilan serta membina jaringan kerjasama antara sektor awam dan sektor swasta dalam membangun dan mempromosikan pelancongan kesihatan di Negeri Sembilan.

“Dalam perancangan mempromosikan ‘Medical Tourism’ di Negeri Sembilan ini, Kerajaan Negeri dicadangkan untuk menyertai ekspo yang pihak MHTC kelolakan di luar negara terutamanya di Indonesia seperti di Jakarta dan Surabaya.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga dicadangkan untuk mengadakan lawatan kerja atau ‘benchmark’ ke luar negara untuk jaringan kerjasama dua hala dan seterusnya membangunkan pakej Medical Tourism Negeri Sembilan dengan keunikan atau identiti yang tersendiri,” jelas Tengku Zamrah.

Tengku Zamrah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan ADUN Sri Tanjung, Dr.P.Rajasekaren (PH) di Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 pada Isnin.

Rajasekaren bertanya apakah status ‘Medical Tourism’ di Negeri Sembilan dan apakah rancangan menarik perhatian pelancong bagi program pelancongan Negeri Sembilan dan program pelancongan perubatan (Medical Tourism) dari pelancong Asia Tenggara terutamanya dari Indonesia.

Show More

Related Articles

Back to top button