Niat Anak Hadiahkan Ibu Umrah Dimakbulkan, Kerajaan Hargai Keprihatinan “Abang Minyak Hitam”
Nur Syafiqah Mohd Jemmi
SEREMBAN: Niat murni seorang anak untuk membahagiakan ibunya akhirnya dimakbulkan apabila impian menghadiahkan pakej umrah menjadi kenyataan menerusi inisiatif kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan berkata, penghargaan itu diberikan kepada Mohd Yusof Mohd Noor, 31, atau dikenali sebagai ‘Abang Minyak Hitam Jalanan Original’ sebagai tanda menghargai keprihatinan dan kebaikan yang ditunjukkannya.
“Kejutan pakej umrah untuk dua orang itu diumumkan ketika sidang media Aidiladha anjuran TV AlHijrah di sini.
“Penghargaan ini bukan sekadar hadiah buat beliau dan ibunya, tetapi tanda menghargai sifat keprihatinan dan kebaikan yang ditunjukkan beliau.
“Lebih bermakna, ia menjadi asbab impian yang lama tersimpan iaitu untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama insan tersayang akhirnya menjadi kenyataan,” katanya dalam satu hantaran semalam.
Menurutnya, kisah tersebut menjadi bukti bahawa niat yang baik, jika dilakukan dengan ikhlas kerana Allah SWT, akan dipermudahkan dengan rezeki yang tidak dijangka.
Dalam perkembangan sama, beliau turut berkongsi detik bermakna itu dengan usahawan, Dicky Yau menerusi panggilan video.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengisian bertemakan ‘Arafah: Puncak Munajat dan Harapan’ diharap mampu menyentuh jiwa masyarakat untuk kembali bermunajat serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sebelum ini, menerusi perkongsian akaun ‘Minyak Hitam Jalanan Original’, Mohd Yusof menyentuh hati orang ramai apabila membantu seorang pemuda Cina dikenali Dicky.
Dicky pada ketika itu berdepan kesulitan akibat motosikal pemuda itu rosak di tepi jalan sekitar pukul 12 tengah malam.
Kos pembaikan alat ganti berserta upah bernilai RM145.
Sebaik kerja pembaikan selesai, dia mendapati lelaki berkenaan hanya mempunyai wang yang cukup untuk kegunaannya sendiri.



