Berita

Nicole sertai operasi kenal pasti gelandangan di Seremban

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan dan JKM daerah Seremban menjalankan operasi mengenal pasti gelandangan di sekitar Bandar Seremban, baru-baru ini.

Nicole berkata, dalam operasi tersebut beberapa individu gelandangan telah dikenal pasti sebelum dibawa ke tempat perlindungan sementara di Pusat Jagaan Rumah Minda Ceria (RMC) bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela.

“Operasi berkenaan dilaksanakan sebagai langkah membantu golongan yang memerlukan selain memastikan mereka mendapat perlindungan dan bantuan melalui saluran yang sewajarnya.

“Pada masa sama, saya turut menyebarluaskan kempen ‘Bijak Membantu, Elak Tertipu’ bagi meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih berhati-hati ketika memberi sedekah kepada gelandangan atau pengemis,” kata Nicole.

Menurutnya, poster kempen tersebut turut diedarkan ke beberapa premis yang sering menjadi tumpuan pengemis seperti bank dan pasar raya.

Tambah Nicole, usaha itu secara tidak langsung dapat membantu membanteras aktiviti mengemis secara terancang selain memastikan individu yang benar-benar memerlukan bantuan dapat dibantu melalui saluran yang betul.

“Kerjasama antara agensi dan masyarakat amat penting bagi memastikan isu gelandangan dapat ditangani dengan lebih berkesan di kawasan sekitar Bandar Seremban,” ujar beliau lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button