Noorzunita pantau kerja pembaikan laluan FT051

PILAH: Prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi pengguna jalan raya dan penduduk setempat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim turun padang menghadiri Mesyuarat Pelarasan Kerja-Kerja Pembaikan Longkang, Pembentung serta lain-lain kerja berkaitan di laluan FT051 Seksyen 19.00 dan Seksyen 36.00 Jalan Seremban–Kuala Pilah.
Noorzunita berkata, perbincangan memberi fokus kepada penyelarasan kerja pembaikan serta pengurusan aliran trafik agar perjalanan pengguna jalan raya lebih lancar dan selamat sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
“Aspek keselamatan dan keselesaan penduduk setempat menjadi keutamaan memandangkan laluan tersebut merupakan antara jalan utama yang sering digunakan orang ramai setiap hari.
“Laluan ini juga berada berhadapan dengan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pilah, justeru penyelesaian yang teratur dan efektif amat penting demi keselesaan rakyat.
“Pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan kerja-kerja pembaikan berjalan lancar serta dapat disiapkan mengikut perancangan.
“Insya-Allah, saya akan terus memantau perkembangan kerja-kerja ini agar segala pelaksanaan dapat disiapkan dengan baik serta memberi manfaat kepada masyarakat Kuala Pilah,” kata Noorzunita.
Penduduk setempat turut berharap kerja-kerja pembaikan berkenaan dapat mengurangkan masalah aliran air dan kerosakan jalan yang sebelum ini menjejaskan kelancaran trafik di kawasan berkenaan.
Mesyuarat tersebut turut disertai Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Pilah, Ir. Puan Jusmairomaizani Jusoh bersama pihak kontraktor yang terlibat bagi memastikan segala kerja pembaikan dapat diselaraskan dengan baik.



