NRES Beri Kerjasama Penuh Kepada SPRM Siasat Pemindahan Tiga Gajah Ke Jepun
SEREMBAN: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap proses pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Menterinya, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian mengambil maklum mengenai siasatan yang sedang dijalankan dan komited untuk memastikan setiap urusan berkaitan pengurusan hidupan liar dilaksanakan secara telus, berintegriti serta mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kami bersedia memberikan segala bentuk kerjasama yang diperlukan oleh pihak berkuasa bagi membantu melengkapkan siasatan secara menyeluruh dan telus.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, penyelewengan atau pelanggaran prosedur sekiranya ia terbukti berlaku dalam urusan pemindahan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pendirian tegas itu penting bagi memastikan integriti institusi kerajaan terus terpelihara selain menjaga reputasi negara di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, SPRM mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung pemindahan tiga ekor gajah yang dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK) susulan dakwaan berlaku ketirisan serta penyelewengan dalam urusan tersebut.
Pada 18 Jun lalu, pertubuhan Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup) menggesa SPRM menjalankan siasatan terhadap proses pemindahan berkenaan.
Pertubuhan itu turut mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan tersebut yang tidak disalurkan kepada kerajaan selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi yang dianggarkan bernilai RM53 juta.
Siasatan yang sedang dijalankan dijangka dapat memberikan gambaran lebih jelas berhubung dakwaan yang dibangkitkan serta memastikan sebarang tindakan sewajarnya dapat diambil berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.



