SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sedang dalam usaha untuk membangunkan satu program khas iaitu program NS Choice yang merupakan satu bentuk pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri Sembilan kepada syarikat tempatan dengan kerjasama SIRIM Berhad melalui Skim Pengiktirafan Kualiti (SPK).
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam berkata, objektif utama inisiatif NS Choice adalah untuk memperkasakan usahawan-usahawan melalui khidmat latihan, rundingan teknikal dan bimbingan ke arah peningkatan kualiti produk, penjenamaan, persijilan dan pembungkusan disamping mentransformasi pembangunan produk pembungkusan yang lebih inovatif bagi meningkatkan keupayaan dan potensi produk ke tahap yang lebih baik bagi tujuan peluasan pasaran produk sehingga ke peringkat global.
“Kerajaan Negeri melalui PKNNS juga menandatangani Memorandum of Understanding (MOU) bersama Yunnan Salam International Trade Co., Ltd untuk membantu menjadikan Selemu International Halal Food Service Center sebagai hab jualan dan pengedaran produk Halal di Wilayah Yunnan dan wilayah-wilayah berjiran.
“Kerajaan Negeri menerusi PKNNS juga bersetuju untuk bersama-sama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi menyertai World Expo Osaka 2025 bertempat di Osaka, Jepun dengan mengetengahkan tiga sektor ekonomi utama iaitu pelaburan dan perindustrian, pelancongan dan keusahawanan,” kata Veerapan.
Veerapan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutup Bengkel Trade and Grow Beyond Borders di Palm Mall, Seremban.
Dalam pada itu, Bengkel Trade and Grow Beyond Borders merupakan salah satu aktiviti di bawah Program Pembangunan e-Dagang Rentas Sempadan (eBizLink) yang juga satu inisiatif baharu program promosi eksport berimpak tinggi dengan tumpuan kepada pemasaran digital melalui platform maya dan hybrid bagi mempertingkatkan perniagaan e-dagang rentas sempadan.
“Terima kasih kepada pihak MATRADE di atas kesudian untuk bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri Sembilan serta DHL Express, iaitu salah sebuah pemain utama logistik antarabangsa dalam melaksanakan program ini.
“Sebanyak 120 PMKS daripada seluruh negara telah mendapat manfaat melalui enam bengkel yang dijalankan sejak 2023.
“Saya berharap para peserta yang telah mengikuti Bengkel Trade and Grow Beyond Borders ini dapat mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang diperoleh dalam usaha untuk memajukan perniagaan masing-masing dan seterusnya menjadi pengeksport besar negara,” ujar Veerapan lagi.