Berita

NSFC laksana penilaian menyeluruh pemain jelang musim baharu

NUR SYAFIQAH BINTI MOHD JEMMI

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) kini memasuki fasa penting apabila melakukan penilaian menyeluruh terhadap barisan pemain sebagai persediaan menghadapi musim baharu, susulan prestasi semasa yang dilihat masih memerlukan penambahbaikan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, arahan telah diberikan kepada pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan supaya menilai setiap pemain yang beraksi sepanjang musim ini.

“Kita sedang di penghujung musim dan saya telah minta supaya pihak NSFC, jurulatih serta pengurusan menilai setiap pemain yang bermain dengan kita sepanjang musim ini.

“Penilaian ini penting untuk kita lihat kemampuan mereka dan keperluan pasukan sama ada mereka akan terus bersama kita pada musim akan datang,” katanya selepas mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, proses penilaian itu telah pun bermula dan diharapkan dapat membantu pasukan membuat persediaan lebih rapi menjelang musim hadapan.

“Kita harap dengan adanya penilaian ini, kita akan lebih bersedia untuk musim akan datang,” tambahnya.

NSFC sebelum ini telah menghantar ketua jurulatih skuad Bawah 20 Tahun (B-20), Norhafiz Zamani Misbah bersama tiga pemain muda menjalani latihan di kelab J-League 3, Gainare Tottori, Jepun selama sebulan pada hujung Februari lalu.

Tiga pemain terbabit ialah Airiel Zafran Mohd Azrul, Aqil Faris Shalahudin dan Adam Haris Hamizon yang merupakan bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Pemain-pemain berkenaan akan dinilai oleh barisan kejurulatihan akademi kelab Jepun itu, dengan peluang untuk ditawarkan kontrak sekiranya memenuhi standard ditetapkan.

Menurutnya, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha membentuk pemain pelapis berkualiti bagi menghadapi kejohanan seperti Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, selain memperkukuh skuad Liga Super NSFC pada masa hadapan.

Show More

Related Articles

Back to top button