PUTRAJAYA: Pengumuman satu lagi syarikat gergasi teknologi dunia Oracle, terkait pembukaan pusat awan awam (public cloud center) pertamanya di Malaysia dengan pelaburan berjumlah US$6.5 bilion, menjadikan jumlah pelaburan keseluruhan syarikat teknologi di Malaysia dianggarkan bernilai US$16.9 bilion (RM70.3 bilion).
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan ini mencerminkan keyakinan dan komitmen syarikat-syarikat dunia terhadap potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi infrastruktur awan (cloud) dan menyokong pertumbuhan ekosistem kecerdasan buatan (AI) serantau.
“Kejelasan dasar dan pendekatan kerjasama strategik yang dilaksanakan Kerajaan MADANI telah berjaya menarik pelaburan daripada syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google dan terkini Oracle.
“Penting bagi tenaga kerja dan syarikat tempatan merebut peluang sebaiknya daripada pelaburan-pelaburan ini.
“Dalam beberapa siri perbincangan bersama pelabur termasuk pengurusan tertinggi syarikat-syarikat tersebut, saya tekankan kepentingan perluasan manfaat jangka panjang kepada Malaysia, termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, fakulti AI dan pemerkasaan kumpulan masyarakat.
“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, matlamat dan sasaran Ekonomi MADANI akan dapat dicapai, Insya Allah,” kata Anwar.