YB Kita

Pelaksanaan WFH dipertimbang tetapi tertakluk kepada keperluan skim dan jabatan

SEREMBAN, 31 Mac – Kerajaan Negeri Sembilan sedia mempertimbangkan cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (WFH) bagi penjawat awam, namun keputusan mengenainya bergantung kepada keperluan jabatan serta skim perkhidmatan terlibat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, ketika ini pihaknya sedang menjalankan kajian bagi mengenal pasti jumlah penjawat awam yang berulang-alik dari luar kawasan, khususnya mereka yang menetap di negeri itu tetapi bekerja di luar.
“Kita sedang kaji berapa bilangan mereka yang tinggal di luar kawasan. Jika bilangannya ramai, kita akan buat satu keputusan.
“Kita bersedia mempertimbangkan, tetapi perlu melihat jabatan yang terlibat. Jika jabatan itu kritikal, kita tidak benarkan. Skim perkhidmatan juga perlu diteliti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin memaklumkan negeri itu tidak berdepan keperluan untuk melaksanakan catuan air setakat ini berikutan paras empangan masih berada pada tahap terkawal.
Menurutnya, situasi tersebut turut dibantu oleh taburan hujan yang diterima sejak tiga hari lalu.
“Kita bersyukur kerana sejak tiga hari lepas hujan turun setiap hari. Kita belum berada dalam keadaan kritikal dan Alhamdulillah tidak perlu melaksanakan catuan air kepada penduduk,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada susulan peralihan monsun yang kini kembali membawa musim hujan.
Hal ini kerana, perubahan cuaca itu berpotensi menyebabkan kejadian seperti banjir kilat sekiranya langkah berjaga-jaga tidak diambil.
“Saya minta semua berhati-hati. Kita tidak tahu hujan ini mungkin menyebabkan banjir kilat atau bencana lain. Semak semula SOP masing-masing dan pastikan keselamatan keluarga.
“Jangan benarkan anak-anak bermain berhampiran sungai atau parit besar bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button