Berita

Pelancongan Domestik Kekal Jadi Sandaran Negeri Sembilan Hadapi Ketidaktentuan Global

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Konflik di Asia Barat dijangka hanya akan memberi sedikit kesan terhadap sektor pelancongan Negeri Sembilan, namun impaknya dilihat tidak terlalu besar berikutan kekuatan pelancongan domestik yang terus menjadi penyumbang utama.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, negeri itu sememangnya tidak terlalu bergantung kepada pelancong luar, sebaliknya menerima kehadiran lebih ramai pelancong tempatan.

“Kita sedia maklum bahawa Negeri Sembilan ini tidak terlalu bergantung kepada pelancongan luar. Pelancongan kita lebih kepada domestik.

“Memang akan ada sedikit kesan daripada konflik yang berlaku, tetapi saya yakin pelancongan domestik akan terus hadir dan sektor ini akan terus berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kick Off Penghijauan Malaysia 2.0 Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Tahun 2026, di sini.

Menurut beliau, situasi tersebut bukan sesuatu yang asing, malah pernah dilalui ketika pandemik COVID-19 sebelum ini.

“Sama seperti ketika COVID-19, selepas kita dibenarkan bergerak, kehadiran pelancong kembali penuh seperti biasa.

“Jadi saya yakin akan ada kesan sedikit, tetapi tidak memberi kesan besar,” ujarnya.

Aminuddin turut memaklumkan bahawa ketika ini terdapat penurunan ketara pelancong dari luar negara, khususnya dari Asia Barat.

“Pelancongan daripada Asia Barat telah tiada buat masa ini. Pelancong dari China, Taiwan dan Hong Kong pula tinggal kira-kira 50 peratus, khususnya di Port Dickson.

“Memang ada kesan daripada pelancongan luar, tetapi kami yakin pelancongan tempatan masih mampu membantu sektor pelancongan Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus mempergiatkan pelbagai aktiviti bagi merancakkan sektor pelancongan.

“Kita tidak boleh elak situasi ini. Apa yang penting, kita teruskan dengan aktiviti-aktiviti yang dirancang dan berharap dapat menarik lebih ramai pelancong domestik sementara menunggu keadaan kembali stabil,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button